Sabtu, 6 Januari 2007

33 - Malas

i.

Saya kirakan saya ini adalah seorang yang sangat rajin, tetapi tidak... telah lama saya tidak melawat blog ini dan menulis sesuatu... banyak yang berlegar di fikiran tapi idea yang banyak tidak mampu untuk menolak saya ke mari...

Sejak dari isu harga tol naik, banjir di selatan sampailah kepada yuran sekolah yang makin meninggi saya lebih banyak berfikir dan berazam untuk menulis sekembalinya di rumah nanti... tapi semuanya musnah bila terdengar bantal dan tilam memanggil-manggil... saya adalah seorang yang baik maka saya tidak melawan kata-kata tilam dan bantal tersebut...

Jika saya tidak menulis pun kamu masih banyak alternatif lain yang boleh dicari... akhbar di Malaysia pastinya tidak akan ketinggalan mengikut arus perdana semasa... kekadang saya merasa amat cemburu dengan akhbar kita... sekiranya ada kenaikan barang, tol, minyak dan sebagainya... mereka cuma perlu menampal kembali ayat-ayat dari akhbar mereka yang lepas-lepas... para menteri akan mengeluarkan ayat-ayat yang sama... rakyat jelata yang ditemuramah pula walaupun berpakaian selekeh tapi bagai punya duit rm 5 juta dalam akaun peribadi... menjilat sampai ke lantai memuji-muji kerajaan kerana menaikkan harga...

Tidak seperti penulis Blog... mereka akan berusaha mencari jalan memburukkan kerajaan... kerajaan buat semua tak bagus... buat jalan kena bayar tol... buat tandas kena keluar 50sen... buat sekolah kena bayar yuran tinggi... nasib baik Yuran SPM dan PMR sudah tiada lagi... maka kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi menjimatkan wang rakyat jelata sebanyak RM20 hingga RM141 seorang... Kita juga harus berterima kasih kerana kerajaan sudi menaikkan gaji kakitangan kerajaan di tahun ini kerana semua rakyat Malaysia adalah kakitangan kerajaan dan mampu menahan apa saja kenaikan yang bakal naik lagi pada tahun ini... terima kasih sekali lagi...

Penulis Blog juga adalah lebih popular pada masa kini kerana rajin memaki pemimpin hinggakan kerajaan terpaksa memantau blog-blog di ruang maya... jika dahulu penulis Blog tidak dikenali langsung kerana pemimpin pada masa itu tidak begitu sibuk menzalimi kami...


ii.

Saya harap anda tidak mencari berita-berita di atas pada buku-buku novelis kita... isu-isu semasa tiada tempat di hati mereka... apa yang lebih penting adalah nama-nama pelakon di dalam novel tersebut yang wajib setaraf dengan nama dewa-dewa kayangan... isu semasa yang berkisar tidak lain dari kekasih hati yang menderita penyakit kronik... tentangan maut dari ibu dan bapa... pertelingkahan keluarga yang tak sudah... dan yang paling penting sekali adalah menghasilkan sampah sebanyak 1211 helai sebagai bahan bacaan di dalam jamban...

Saya bukan anti-novelis... walaupun saya banyak membaca buku yang dibaca di kalangan aristokrat inggeris yang elit seperti saya... saya turut membaca novel-novel tempatan juga... saya telah khatam sebanyak 3 kali novel pemenang hadiah pertama Sayembara Novel GAPENA tahun 1976... novelnya amat bagus tapi masalah yang lain pula timbul... novel-novel penulis tersebut yang lain termasuk sekuel novel yang bagus tersebut juga termasuk di dalam golongan yang layak ke tong sampah... Mmg sikap rakyat jelata Malaysia begitu... tak konsisten...

Akan tetapi tahap saya tidak mampu untuk membaca novel Salina dan Langit Petang dari A. Samad Said... Begitu juga Keluarga Gerilya dari Pramoedya Ananta Toer... kepala saya cepat pening...


iii.

~Tidak semua kebahagiaan berakhir dengan perkahwinan dan tidak semua perkahwinan berakhir dengan kebahagiaan~

Tiada apa yang ingin saya tulis mengenai ayat di atas... saya sekadar teringat ketika memandu melewati Jln Klang Lama pada jam 11.45 malam tadi...

Tiada ulasan: