Selasa, 30 Jun 2009

78 - Gerumut

Saya sememang seorang yang sungguh bertuah... selain dikurniakan wajah yang kacak dan berada, saya telah diberikan nama yang sungguh hebat oleh ibu dan bapa saya... tidak seperti nama kamu yang huduh dan amat malu untuk kamu menggunakannya...

Buktinya amat nyata bila ada antara kamu yang bersusah payah mencarikan nama-nama yang gah untuk diri kamu sendiri... Dan bersedialah kamu untuk tidak popular sekiranya kamu menggunakan nama kampung seperti Joyah, Bedah dan Ana... Sekiranya mahu berbunyi melayu sekalipun maka bermati-matilah kamu mencari nama artis yang besar seperti misha misalnya...

Ada juga sesetengah yang menginggeriskan nama melayu yang ada... nama Katijah dipanggil Kathy atau Cat kononnya agar lebih urban... ya urban... urban nenek kamu... tidak ketinggalan Zubaidah errr.... jauh pula melalut... saya sebenarnya mahu menceritakan kehebatan nama saya... masakan penulis yang agung seperti saya membuang masa menulis tentang nama-nama ciptaan yang tidak hebat tersebut...

Nama saya sebaliknya selain dari dicemburui oleh ramai kenalan adalah amat catchy dan sungguh komersil... jika menulis buku bakal dikatakan orang sebagai prolifik dengan hanya mendengar namanya sahaja... jika menyanyi pasti disamakan seperti El-Divo...

Jika ada di antara kamu yang merasakan nama kamu cuma layak diletakkan di papan tanda kedai baja maka saya merelakan jika kamu terdesak ingin menggunakan nama saya dengan bayaran berpatutan... Ya! pasti dengan bayaran... air sejuk yang menggunakan nama mawi pun dibayar inikan pula nama saya yang gah itu... Malah sedari dulu saya bercita-cita jika punya sebuah produk sendiri akan saya letakkan nama saya itu sebagai jenamanya...

Bukan seperti kamu yang malu alah dan derhaka dengan nama yang diberikan ibubapa...




Notakaki: Saya tidak boleh mencari bahasa melayu yang sesuai bagi perkataan "Catchy"... kalau "menangkap" bagai mencarut bunyinya...

Selasa, 16 Jun 2009

77 - Blokade

Satu malam yang memenatkan... Bu Dina kegelisahan... jam menunjukkan jam 3 pagi... measurement works ini tidak nampak bayang akan selesai dalam masa terdekat... mata Bu Dina makin kuyu... semakin mengantuk sementelah tidak cukup rehat semenjak diberi tugasan ini...

"Aku harus pulang," bentak Bu Dina di dalam hati...

Lalu dengan lagak ala-ala Marilyn Monroe dia bangun dari kerusi lalu mencapai kunci kereta menuju ke lif... kedatangan lif dirasakan terlalu lama... pemandangan makin kelabu... fikirannya cuma tertumpu pada enaknya bantal dan tilam di rumah.... Lif lalu sampai dan Bu Dina turun ke tingkat bawah menuju ke kereta...

Enjin kereta dan lampu dinyalakan... talipinggang keledar dipasang dan nah.... perjalanan pulang ke rumah di Rawang dimulakan... melintasi setiap jalan dan lampu isyarat... Suzuki Swift dipandu selaju mungkin agar cepat tiba ke destinasi...

Sesampai di halaman rumah... jam telah menunjukkan jam 4.30pagi... Ayam jantan baru hendak mula hendak berkokok memanggil mentari menyimbahkan cahayanya di muka bumi....

Kak Nor Mulut Murai yang baru berura keluar menoreh terhenti di muka pintu setelah mendengar bunyi kereta....

"Kamu buat apa sampai balik jam 4.30pagi ni Bu Dina???" tanya Makcik Temah

"Saya buat OT la Kak...." Jawab Bu Dina acuh tidak acuh lalu terus masuk ke rumah lalu terus menuju ke bilik tidur...


12.00 tengah hari

Bu Dina baru menuju ke tempat bekerja... dan di luar sana satu kampung telah heboh... Kak Nor Mulut Murai menjaja cerita Bu Dina balik jam 5 pagi kerja buat roti....


Isnin, 15 Jun 2009

76 - Gaduk

Mampuslah saya jika kamu minta saya mencari-cari jalan di sekitar pinggir Kuala Lumpur.... sungguhpun saya dilahirkan di sini tapi kawasan sekitarnya cukup saya tidak haul... Mahu ke mont kiara saja sudah ambil masa berjam-jam...

Lain pula kiranya kalau ke Putrajaya... semenjak punya klien yang beranak pinak di sana, turun ke ceruk mana jua saya tahu... Dapat pula kini saya menetap di Puchong maka lebih keraplah saya ke sana hatta ketika cuti umum sekalipun...

Jadi bila Kawan Baik Saya Yang Lagi Satu beria-ria mahu bertolak cepat ke majlis merekrut jurulaga perut yang baharu maka saya amat runsing... utamanya putrajaya bukan jauh benar... andai saya kentut di dalam kereta nescaya sebelum habis kentut itu berlangsung akan sampailah kami ke putrajaya...

Maka sebelum rekrut bersemayam mengikut hindu setelah menikah cara islam kami tibalah di dewan persemayam itu... ramailah kenalan di sekolah hadir sama memberikan sokongan agar para rekrut baru boleh berlaga dengan lebih hebat lagi... dan setiap kenalan yang tidak saya jumpai lebih dari tiga tahun adalah dikira sahabat baik saya... semua sungguh mesra walau di sekolah dulu haram bertegur sapa...

Satu keburukan berjumpa dengan sahabat-sahabat lama adalah kecenderungan bermegah-megah... soalan lazim seperti kerja di mana dan sebesar mana rumah atau kereta yang sudah dibeli adalah soalan wajib... Jadi saya nasihatkan kamu yang tidak suka kalah dalam soal bermegah-megah agar membawa sekali geran kereta atau rumah mahupun tanah kamu ke majlis-majlis yang seumpamanya... Penyata Bank tidak perlu di bawa sekali kerna takut di dalamnya tertulis nama-nama bapak, pakcik, adik, kakak atau kaum kerabat yang lain yang terpaksa kamu masukkan sekali untuk meluluskan pinjaman...

Jika ada yang bertanya samada kamu punya facebook, myspace, friendster atau apa-apa yang seangkatannya maka mengaku sahaja ada... nanti kamu dikata ketinggalan... kecuali saya kerna saya adalah seorang yang sangat sibuk dengan urusan kerjaya saya... tiada masa saya melayan urusan budak-budak yang belum bersunat seperti itu...

Selain dari itu segalanya sungguh baik dan ketika rekrut baru jurulaga perut bersanding terpancar di mata mereka cahaya kegembiraan dan telinga saya seperti terdengar-dengar hati mereka berkata "Bila la semua orang ni nak balik.... rasa-rasa dah cukup malam dah ni...."