Isnin, 15 Jun 2009

76 - Gaduk

Mampuslah saya jika kamu minta saya mencari-cari jalan di sekitar pinggir Kuala Lumpur.... sungguhpun saya dilahirkan di sini tapi kawasan sekitarnya cukup saya tidak haul... Mahu ke mont kiara saja sudah ambil masa berjam-jam...

Lain pula kiranya kalau ke Putrajaya... semenjak punya klien yang beranak pinak di sana, turun ke ceruk mana jua saya tahu... Dapat pula kini saya menetap di Puchong maka lebih keraplah saya ke sana hatta ketika cuti umum sekalipun...

Jadi bila Kawan Baik Saya Yang Lagi Satu beria-ria mahu bertolak cepat ke majlis merekrut jurulaga perut yang baharu maka saya amat runsing... utamanya putrajaya bukan jauh benar... andai saya kentut di dalam kereta nescaya sebelum habis kentut itu berlangsung akan sampailah kami ke putrajaya...

Maka sebelum rekrut bersemayam mengikut hindu setelah menikah cara islam kami tibalah di dewan persemayam itu... ramailah kenalan di sekolah hadir sama memberikan sokongan agar para rekrut baru boleh berlaga dengan lebih hebat lagi... dan setiap kenalan yang tidak saya jumpai lebih dari tiga tahun adalah dikira sahabat baik saya... semua sungguh mesra walau di sekolah dulu haram bertegur sapa...

Satu keburukan berjumpa dengan sahabat-sahabat lama adalah kecenderungan bermegah-megah... soalan lazim seperti kerja di mana dan sebesar mana rumah atau kereta yang sudah dibeli adalah soalan wajib... Jadi saya nasihatkan kamu yang tidak suka kalah dalam soal bermegah-megah agar membawa sekali geran kereta atau rumah mahupun tanah kamu ke majlis-majlis yang seumpamanya... Penyata Bank tidak perlu di bawa sekali kerna takut di dalamnya tertulis nama-nama bapak, pakcik, adik, kakak atau kaum kerabat yang lain yang terpaksa kamu masukkan sekali untuk meluluskan pinjaman...

Jika ada yang bertanya samada kamu punya facebook, myspace, friendster atau apa-apa yang seangkatannya maka mengaku sahaja ada... nanti kamu dikata ketinggalan... kecuali saya kerna saya adalah seorang yang sangat sibuk dengan urusan kerjaya saya... tiada masa saya melayan urusan budak-budak yang belum bersunat seperti itu...

Selain dari itu segalanya sungguh baik dan ketika rekrut baru jurulaga perut bersanding terpancar di mata mereka cahaya kegembiraan dan telinga saya seperti terdengar-dengar hati mereka berkata "Bila la semua orang ni nak balik.... rasa-rasa dah cukup malam dah ni...."

Tiada ulasan: