Isnin, 25 Ogos 2008

45 - Selipar

Berbuat baik sesama insan adalah sesukar menghadapi peperangan yang sengit... Kakak Y di opis saya misalnya selalu mengharapkan pertolongan dari teman-teman sepejabat... Hutang piutang jangan dikira... sudah tak larat nak membayar agaknya...

Bukanlah saya ini berkira sangat dalam perkara-perkara membuat kebajikan ini... jauh sekali mengelak dari membantu insan-insan yang lemah... Selain dilahirkan kacak, saya juga ditakdirkan tuhan untuk menjadi orang berada... Bukan seperti kamu yang setiap hari bergaduh laki bini disebabkan duit...

Masalah timbul bila orang bangang yang ditolong... Saya tidak mengharapkan pembalasan bila membantu cuma diharapkan berperangailah seperti manusia sedikit... Janganlah diikut resmi-resmi yang bangang itu... Tak perlu dilemparkan kepada saya ungkapan-ungkapan yang berunsur fitnah...

Takut nanti terpaksa bersumpah laknat pula demi menegakkan benang yang basah.. Zaman sekarang sumpah menyumpah sudah jadi agenda terkini... Bongok! di waktu kami resah memikirkan apa yang nak dimasukkan ke mulut kami disebabkan bangangnya kamu, kamu sibuk menyumpah apa yang keluar (atau masuk) dari dubur...

Kita sedang dilaknat tuhan gamaknya... dikala barat mempermainkan tuhannya... Jesus Christ dibuat main... Nabi Nuh dibuat main... Tuhan sendiri dibuat main... kita ikut nak terjun sama... mempermainkan tuhan... Wamakaru wamakarallah wallahukhairulmakirin...

Berbalik hal tadi... Kepada yang tak berpuas hati kepada saya, satu sahaja pesan saya...

Sekali... Kamu mengena...

Dua kali... Saya terkena...

Tiga kali... Memang nak kena!!!

Jumaat, 22 Ogos 2008

44 - Shariff

Maafkanku denai damai yang turut resah kerna menyusur lorong damaimu...
Dengan darjat yang jijik... cemar embun di rumputmu...
Sapaan jejak yang sekian lama mencari air cucian di tasik kemanusiaan...

Kutahu dedaun di sekitarmu akan mengeji...
semalu menguncup daun dan senduduk angkuh menyindir...
dan denai damai kau akan terpulau...

Dengan izinmu kulalui lorongmu
yang pasti bukan untuk jasad jijik ini...

Maafkanku denai damai...

1997 - SMKP


Berapa ramai antara kamu yang akan termenung sebentar pabila mendengar lagu yang berkumandang di corong radio lalu berfikir; mengapa bukan aku yang menulis bait seindah itu??? Terkecuali diri saya...

Saya tatapkan sebuah puisi yang berumur sedekad yang lalu buat mengingatkan diri kamu akan betapa tidak berbakat dan serba kekurangannya diri kamu...

Walau serba kekurangan dan sehodoh mana sekalipun, ramai ibu bapa menganggap anak merekalah yang paling cantik... kecuali emak saya yang sungguh beruntung kerna mendapat anak yang sungguh kacak sedari kecil seperti saya... dan seperti biasa emak saya tidak perlu bersusah payah memuji-muji anaknya sendiri seperti emak-emak orang lain kerna dengan sekali pandang sahaja orang akan mengakui betapa comelnya saya ketika itu...

Sayang sekali kecantikan yang diwarisi kami turun temurun itu tidak pula terwaris pada adik saya yang bongsu... diharapkan suaminya di masa hadapan tidak pula serupa buruk jika tidak cacatlah kisah kecantikan keluarga kami turun temurun... errr... jauh pula melalut... sikit lagi... jika kamu tak percaya silalah kamu ke UKM Bangi dan carilah perempuan yang berhidung pelakon Nor Khiriah... kamu akan faham...

Berbalik pada cerita tadi... Bagi yang sudah bekerja, kiriman wang kepada orang tua di kampung bukanlah bayaran ansuran untuk ke sorga...

Kasih sayang kepada orang tua perlu ditunjukkan sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang kepada kamu sejak jari kaki kamu masih merah lagi... Kamu juga dilarang menghantar kedua orang tua ke rumah kebajikan melainkan kamu dan adik-beradik kamu sudah mati...

Sila kira berapa kali agaknya dalam tahun ini kamu mencium kedua ibu dan bapa??? Cium pipi sahaja... Cium di mulut akan menyebabkan kurang selesa... Berapa kali pula kamu mencium adik-adik kamu??? Harus diingatkan! Adik kamu sahaja! Adik orang lain tidak digalakkan kerna mencium adik orang takut ditangkap polis...

Saya kacak... Adik saya tidak...

Rabu, 6 Ogos 2008

43 - Topoh

1997... Sekolah Menengah Petaling...

Bagi kebanyakan pelajar ketika itu (juga kini) menghisap rokok merupakan satu kebanggaan maha hebat bagi mereka... adakalanya kebanggaan itu melebihi keseronokan tak memasal tatkala ternampak tali coli budak perempuan yang terkeluar tiap kali matapelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan...

Walaupun berkawan dengan perokok tegar zaman sekolah seperti Shahrul Token, Razalee Adam, Mat Yengki dan Nizam Bean, saya tidak bercita-cita untuk merokok... bukan tak pernah mencuba... tapi bak kata Razalee Adam "Lu ni tak ada bakat la!"

Terdapat satu kejadian yang meruntun jiwa mengenai merokok ini...

Di hujung blok sebaris bilik Guru Disiplin yakni Cikgu Ghani adanya sebuah tandas... situ tempat berkumpulnya kumpulan perokok tegar... mungkin aroma jamban yang ada menyedapkan lagi hisapan demi hisapan rokok yang ditarik ke paru-paru... tiap kali tiba waktu menyedut, setiap bilik jamban akan dipenuhi... ada yang berani mati menghisap di depan sinki... rasa dunhill dan urin bercampur baur...

Daaam! Daaam! Daaam!

Tiba-tiba pintu tandas diketuk berulang kali...

"Ghani datangggg!!!!!! lariiiii!!!!!!!" kedengaran jeritan yang entah di mana...

Seperti kita semua sedia maklum pengawas adalah manusia paling suci di sekolah... Dengan lesen L yang diberi Guru Disiplin mereka inilah yang mengetuk setiap pintu jamban menyuruh pelajar keluar... meskipun lambat-lambat namun pelajar terpaksa juga berbaris di hadapan tandas...

Satu cara klasik menangkap penghisap rokok di sekolah adalah dengan menghidu bau rokok di tangan... rokok yang dipegang akan meninggalkan bau di hujung jari tangan penghisap... sekiranya kamu menghisap rokok menggunakan jari kaki maka kamu agak beruntung dalam hal ini...

"Hulur tangan kamu!!!" bentak Cikgu Ghani kepada pelajar pertama...

Pelajar pertama menghulurkan tangan... Cikgu Ghani mendekatkan hidung... terbau rokok... PANGGGG!!!!! hinggap sebiji pelempang ke muka.... jika diambil marker pen maka boleh dilukis berapa besar bekas tapak tangan Cikgu ghani di muka mangsa...

Cikgu Ghani menuju kepada tertuduh Kedua.

"Hulur tangan kamu!!!"

Pelajar kedua menghulurkan tangan... Cikgu Ghani mendekatkan hidung... terbau rokok lagi... PANGGGGGGG!!!!! Seorang lagi terkena pukulan TKO...

"Hulur tangan kamu!!!", jerkah Cikgu Ghani kepada pelajar ketiga... Api marahnya nampak tak kunjung padam...

Pelajar ketiga menghulurkan tangan... seperti biasa Cikgu Ghani mendekatkan hidung... matanya terbeliak... mukanya bertukar kemerahan...

"Buuueeekkkkk!!!! Bau apa ni!!!!!"jeritnya...

"Maapla Cikgu... tadi saya berak tak sempat nak basuh tangan!"