Selasa, 5 Februari 2013

164 - Entahlah

Adakah dengan tertutupnya akaun facebook maka akaun blogger akan makin bercahaya?

Bingung. Hobi saya menulis tapi saya bukanlah penulis. Seperti yang disebut Ami Mustafa, kami adalah blogger namun kami bukanlah penulis.

Tujuan saya menulis adalah bagi melahirkan rasa hati. Apa saja yang terlintas di kepala rasanya baik dicatatkan dan agak seronok sebenarnya bila dibaca kembali. Terciptanya laman sosial seperti Muka Buku dan Pencicit (buruk bunyinya) membantu saya mempublikkan apa yang mahu ditulis. Jika bernasib baik, tulisan itu akan ada komentar.

Sayangnya, bukan semua orang saya mahu tunjukkan tulisan saya. Tidak semua. Ada masanya atas sebab-sebab yang tertentu, saya merahsiakan tulisan saya. Malahan laman blog ini sendiri juga cuma diketahui oleh beberapa orang pembaca sahaja. Atas dasar yang sama, tulisan di Muka Buku dibenarkan kepada kita untuk menapis sesiapa yang melihat atau tidak. 

Seperkara tentang tulisan adalah ada masa mesej itu bukan untuk kamu. Jika kamu baca pun kamu tidak akan faham, malah lebih teruk lagi kamu salah faham. Mengapa terkinja-kinja mahu tahu perkara yang bukan dibikin untuk kamu? Tanpa kamu membaca tulisan tersebut pun kamu sudah terlebih aksi merapu ke sana ke sini menyentuh perkara-perkara yang langsung tiada kena mengena. Setiap perkara dibuat bersebab, kamu jangan merapu.

Dalam hidup perlu bertenang-tenang. Jangan perhambat segala benda yang dah lepas, kamu cuma memburukkan keadaan jauh sekali memperbaikinya. Bila saya kata sudah itu maknanya perkara sudah yang tak perlu kamu ungkit-ungkitkan lagi. Mungkin kamu tidak sedar tapi mengungkit perkara yang lepas itulah yang bakal menjahanamkan segala perkara. 

Jadi, Sudah itu sudah!

Ahad, 3 Februari 2013

163 - Rukun


Inilah saatnya. Penantian yang sekian lama kini bakal berakhir. Matanya menjeling-jeling ke arah pasangannya, pasangannya membalas jelingan malu padanya. Dialah orangnya, insan yang berjanji akan bersama dalam susah dan senang, menerima segala buruk dan baik, sehidup semati bersama. Suatu anugerah dalam hidupnya.

Sesekali terdengar suara mengusik dengan tawa-tawa riang. Anak-anak kecil berlari-lari di beranda rumah tanpa peduli apa yang terjadi. Di ruang ini, Pak Imam masih galak menyampaikan khutbah nikah. Tapi itu pun tidak didengarnya. Dalam bunga-bunga hatinya terhimbau rasa risau. Rasa risau yang terhambat pada semua lelaki yang bakal menikah. Benar kata orang, dalam kehidupan seorang adam akan ada dua kali kegerunan maha besar melanda; sekali ketika bersunat dan kedua kalinya inilah dia.

Yang menggusarkan kata orang, bukan sekadar waktu berakad itu tetapi juga soalan-soalan sebelum nikah yang bakal ditanya. Bukan dia tidak beragama, tidak. Sembahyang jika pun tidak cukup janji yang lima, dikerjakannya juga sehabis mampu. Puasanya tidak pernah tinggal tanpa uzur yang membenarkan. Zakat juga dilunaskan Cuma haji saja belum rezeki lagi. Pendek kata, apa saja yang Islam cukup padanya.

“Sebelum bernikah ni saya kena tanya beberapa soalan.” Kata Pak Imam. Ahhhh!!! Inilah masanya. Dia mengangguk kelat, dalam kepalanya kosong tanpa dapat menangkap apa yang dibaca selama ini.

“Sebutkan apakah dia Rukun Iman?”

Dia tidak bungkam. Dia yakin tahu apa jawabnya dan dia sangat yakin. Tidak kurang 40 pasang mata tertumpu padanya waktu itu. Walaupun dengan getar, dia membuka jua mulutnya.

“Rukun Iman itu ada lima perkara....” Dia terhenti di situ, meneguk air liur.

“Pertama... Errr... Kepercayaan kepada Tuhan.”

Isnin, 28 Januari 2013

162 - Satu

Kita kini berkecenderungan mengatakan orang lain yang tidak bersefahaman dengan kita sebagai sesat walaupun sama-sama bertauhidkan Tuhan yang satu itu. Kalaulah empat imam mazhab berkecenderungan seperti kita dalam isu kalimah Allah misalnya, nescaya berperang sajalah kita dengan mazhab-mazhab yang lain kerna khilaf-khilaf lain yang juga banyak itu.

Jumaat, 25 Januari 2013

161 - Gravidarum

Disebabkan kamu bodoh, saya terpaksa kata ini. Sesetengah wanita mengandung memang mengalami alahan yang sangat teruk. Ada masanya mereka langsung tidak boleh makan atau minum kerna secara automatis badan mereka akan menolak bahan makanan tersebut lalu mereka muntah-muntah. 

Ini tiada kena mengena dengan sifat ingin mengada-ngada atau bermanja-manja. Tak ada orang yang cukup bangang menahan makan sehingga perlu masuk hospital untuk di errrr.... drip (maaf tak tau bahasa melayunya apa). Disebabkan kamu lembab, biar saya terangkan bahawa Cronic Vormitting memang wujud dalam istilah perubatan dan fenomena ini adalah benar sebagaimana kiamat adalah benar dan mati adalah benar walau bagaimana sekalipun kamu sangkal. 

Bagus kalau kamu mengandung tanpa apa-apa masalah tapi maaf, isteri saya tidak. Jangan terlalu tahu ketika kamu belum faham. Sikap terlalu tahu sebelum benar tahu inilah yang buat kamu membebel tolol di hadapan isteri saya konon paksa makanlah, jangan ikut sangatlah dan macam-macam benda yang konon tidak dicuba. 

Saya menganggap ini sebagai perbuatan tidak hormat. Kamu boleh saja tidak hormatkan saya, saya tidak kisah jauh lagi berasa hairan. TAPI SILA HORMAT ISTERI SAYA! Mengandung sudah cukup sukar dan kamu tak perlu menyusahkan lagi hati dia untuk menambah susah. 

Andai tidak, memang kamu sangat akan bernasib malang hari tersebut kerna bakal mengenali Wanbinlin sebelah yang lagi satu itu. Percayalah, kamu tak mahu kenal dia.

Isnin, 14 Januari 2013

160.1 - Terima Kasih

Terima kasih Tuhan kerna menjawab doa saya yang nakal walaupun dalam bahasa yang sungguh sakit dan lama untuk saya faham.

Selasa, 4 Disember 2012

160 - Richard Parker


Life of Pi (2012) mengisahkan kisah seorang budak lelaki bernama Priscine Molitor Patel atau Pi yang kehilangan seluruh ahli keluarga di dalam tragedi kapal karam bersama binatang-binatang di zoo milik keluarganya. Dalam usaha menyelamatkan diri, beliau terpaksa menyesuaikan diri untuk tinggal bersama seekor harimau bengal bernama Richard Parker yang turut terselamat. 

Filem ini bermula dengan Pi menceritakan kisah hidupnya sejak dari kecil kepada Yann Martel, seorang penulis buku yang dianjurkan oleh Pakcik beliau untuk menemui beliau bagi mendapatkan ilham bagi menulis buku. 

Liberal tapi menarik bila filem ini memperlihatkan sisi agama pada kacamata seorang budak lelaki iaitu Pi yang masih tercari-cari kepercayaan. Pi menemui tiga agama utama yang terdapat di India iaitu Hindu, Kristian dan Islam. Sayang di dalam filem ini, olahan terhadap keindahan agama Islam tidak dihuraikan secara panjang lebar sebagaimana dibuat terhadap hindu oleh Ibu Pi atau Kristian oleh paderi gereja yang ditemui Pi setelah dicabar abangnya untuk meminum Holy Water di dalam gereja. 

Cubaan Pi tersebut dalam mencari Tuhan bagaimanapun dipatahkan oleh ayahnya melalui tindakbalas kehaiwanan seekor harimau. Namun di suku akhir cerita kemudiannya 'diperlihatkan' tuhan kepada Pi di tengah lautan luas ditemani harimau yang sama. 

Dalam satu sisi, kita diperlihatkan kepada kasih seorang ayah yang kita sedia tahu ada kasih dalam kasarnya. Seorang ayah yang cuba memandu anaknya melalui falsafah-falsafah hidup tetapi berlawanan dengan corak pemikiran anak kecil. Pi cuma memahami maksud ayahnya sesudah terselamat dari bencana dan mengakui bahwa ajaran-ajaran dari ayahnyalah yang membantunya untuk terus hidup. 

Jika kamu peminat kehebatan CGI Avatar, cerita ini tidak akan mengecewakan kamu. Refleksi Langit pada pemukaan air telah dibuat dengan sangat cantik. Apa yang dihidangkan oleh Pengarahnya Ang Lee memang mempersonakan. 

Filem ini tidak dapat tidak, mengingatkan saya kepada filem kegemaran saya Cast Away (2000) lakonan hebat Tom Hank. Namun pada suatu detik di dalam filem ini, seni penceritaannya akan menimbulkan suatu persoalan samada yang diceritakan itu suatu realiti atau suatu metafora bagi realiti yang terjadi. Keputusan bagi mempertimbangkan kerasionalan pengembaraan itu dicampakkan kepada Yann Martel si penulis buku yang mendengar cerita atau dalam bagi filem ini adalah penonton. 

Filem ini sungguh indah. Sungguh Ang Lee.



Rabu, 17 Oktober 2012

159 - Roda

Hidup ini sahih
putaran roda
yang tidak lupa.