Selasa, 4 Disember 2012

160 - Richard Parker


Life of Pi (2012) mengisahkan kisah seorang budak lelaki bernama Priscine Molitor Patel atau Pi yang kehilangan seluruh ahli keluarga di dalam tragedi kapal karam bersama binatang-binatang di zoo milik keluarganya. Dalam usaha menyelamatkan diri, beliau terpaksa menyesuaikan diri untuk tinggal bersama seekor harimau bengal bernama Richard Parker yang turut terselamat. 

Filem ini bermula dengan Pi menceritakan kisah hidupnya sejak dari kecil kepada Yann Martel, seorang penulis buku yang dianjurkan oleh Pakcik beliau untuk menemui beliau bagi mendapatkan ilham bagi menulis buku. 

Liberal tapi menarik bila filem ini memperlihatkan sisi agama pada kacamata seorang budak lelaki iaitu Pi yang masih tercari-cari kepercayaan. Pi menemui tiga agama utama yang terdapat di India iaitu Hindu, Kristian dan Islam. Sayang di dalam filem ini, olahan terhadap keindahan agama Islam tidak dihuraikan secara panjang lebar sebagaimana dibuat terhadap hindu oleh Ibu Pi atau Kristian oleh paderi gereja yang ditemui Pi setelah dicabar abangnya untuk meminum Holy Water di dalam gereja. 

Cubaan Pi tersebut dalam mencari Tuhan bagaimanapun dipatahkan oleh ayahnya melalui tindakbalas kehaiwanan seekor harimau. Namun di suku akhir cerita kemudiannya 'diperlihatkan' tuhan kepada Pi di tengah lautan luas ditemani harimau yang sama. 

Dalam satu sisi, kita diperlihatkan kepada kasih seorang ayah yang kita sedia tahu ada kasih dalam kasarnya. Seorang ayah yang cuba memandu anaknya melalui falsafah-falsafah hidup tetapi berlawanan dengan corak pemikiran anak kecil. Pi cuma memahami maksud ayahnya sesudah terselamat dari bencana dan mengakui bahwa ajaran-ajaran dari ayahnyalah yang membantunya untuk terus hidup. 

Jika kamu peminat kehebatan CGI Avatar, cerita ini tidak akan mengecewakan kamu. Refleksi Langit pada pemukaan air telah dibuat dengan sangat cantik. Apa yang dihidangkan oleh Pengarahnya Ang Lee memang mempersonakan. 

Filem ini tidak dapat tidak, mengingatkan saya kepada filem kegemaran saya Cast Away (2000) lakonan hebat Tom Hank. Namun pada suatu detik di dalam filem ini, seni penceritaannya akan menimbulkan suatu persoalan samada yang diceritakan itu suatu realiti atau suatu metafora bagi realiti yang terjadi. Keputusan bagi mempertimbangkan kerasionalan pengembaraan itu dicampakkan kepada Yann Martel si penulis buku yang mendengar cerita atau dalam bagi filem ini adalah penonton. 

Filem ini sungguh indah. Sungguh Ang Lee.



Tiada ulasan: