Hari Raya yang lama dahulu di Kampong Sentosa adalah hari yang menggembirakan Mak. Mak yang dikenali sebagai ahli masyarakat yang sangat penyayang punya anak-anak angkat merata di seluruh Kampong Sentosa sendiri. Sesetengah dari anak-anak ini adalah yatim seperti adik beradik Derih yang juga memanggil Mak dengan panggilan yang sama.
Mak cukup senang melihat kanak-kanak sebaya saya datang ke rumahnya. Awal pagi sebelum ada sedara mara datang melawat, Mak akan menyuruh saya dan Ana memanggil kawan-kawan kampung yang duduk selorong atau selang beberapa baris untuk beraya. Dolah, Nen, Nasir, Aboy, anak-anak Kak Lesot, Peros dan Pendi antara yang selalu datang kerna rumah mereka cuma selang beberapa dari rumah saya. Cucu-cucu Mak dari belah Nyah yang ramai tambah meriah lagi suasana.
Cukup senang dia melihat kanak-kanak berebut-rebut meminum air kotak green spot yang dibawa Abah dari kilang Amoy Canning dan kuih muih yang dia sendiri sediakan. Bersengkang mata dia memasak kuih muih demi untuk tetamu yang datang. Bagi kamu yang lahir selepas tahun-tahun itu mungkin tidak begitu memahami perasaan kanak-kanak itu betapa air kotak dianggap barang mewah pada ketika itu.
Mengasihi kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat di anjurkan. Nabi kesayangan kita amat sukakan kanak-kanak. Mungkin itu yang mahu Mak ikuti.
Kemuncak kepada kegembiraan kanak-kanak yang berhari-raya di rumah kami adalah apabila mereka diberikan 20sen setiap seorang. Kamu mungkin merasa lucu, tapi nilai 20sen ketika itu bagi kanak-kanak di rumah setinggan adalah sorga dunia. Anak-anak zaman ini kalau diberi 20sen mau hijau mukanya, silap-silap dipulang balik buat tambang tuan rumah ke Mekah kata mereka.
Itulah Mak saya, kalau Mak masih hidup tentu hingga kini tradisi itu akan diteruskannya. Kanak –kanak yang dahulu telah dewasa mungkin kini melawat Mak pula dengan anak-anak mereka untuk diperkenalkan dengan “Makcik Wok”, panggilan anak-anak kampung kepada Mak.
Ahhhh... terasa basah pula dihujung mata. 17 tahun sudah berlalu semenjak ketiadaannya, Mak kini seorang isteri, mak dan nenek yang sentiasa diingati di dalam hati setiap kami, didoakan kesejahteraan ke atasnya selepas solat-solat kami.
Saya rindu Mak saya, sungguh...

1 ulasan:
wan,
kwn2 yg lain mcm nen, dolah etc x ada dlm fb list ke?
Catat Ulasan