Rabu, 10 Mac 2010

108 - Menyisir rentak usiaku

Walau habis satu ukur lilit bumi ini orang melayu berjalan dan setinggi awan pelajaran yang disumbatkan ke dalam otak mereka yang sangat mahal itu, orang melayu akan tetap percaya pada bomoh dan benda tahyul.

Mahu saya katakan perkara ghaib itu tak wujud maka menipulah saya. Perkara ghaib itu diyakini memang wujud namun kepercayaan yang berlebih-lebih perlulah dielakkan.

Banyak juga bomoh-bomoh yang hebat. Sekiranya kamu bomoh yang kita cari maka baik kamu pertimbangkan akal fikiran saya yang mahal ini untuk kamu perhalusi. Sebaiknya kamu yang mempunyai bakat yang jarang-jarang ada ini agar membuat satu konsortium. Nah! Hebat bukan cadangan saya itu. Pastinya kamu yang singkat akal sedang menggaru-garu kepala memikirkan apa kejadahnya nak membuka konsortium untuk aktiviti perbomohan.

Sekiranya kamu tidak terfikir, bomoh sebenarnya adalah satu jenis perkhidmatan. Sebagaimana doktor, poslaju, telekom, paip, air dan lain-lain lagi yang tersenarai yakni sebagai perkhidmatan.

Saya ambil satu contoh, Bomoh hujan misalnya mengadakan perkhidmatan bagi menahan atau menurunkan hujan. Nampak saja mudah! kita lihat begini, kamu mahu menikah ala taman bak Jenifer Aniston dan Brad Pit. Bayangkan apa yang berlaku kiranya di waktu menikah kamu itu nanti hujan turun dengan lebatnya. Satu majlis di taman gamaknya kamu menghabiskan hingga RM20,000, saya kata agaknya! Tentu kamu tidak mahu majlis itu lebur begitu sahaja disimbah air dari langit. Maka di sinilah perkhidmatan Bomoh penahan hujan bakal diperlukan.

Itu saya ambil satu contoh yang kecil, untung pasti tidak banyak jika sekadar majlis nikah yang kamu cari. Jika mahu ambil contoh yang besar, Worldcup misalnya. Jika kamu cukup bagus perkhidmatannya di tanah air kamu sendiri, saya fikir dato menteri sendiri bakal panjat pejabat presiden Fifa dan menceritakan betapa hebat dan gahnya kamu dalam bisnes menahan hujan. Yalah! Sebagai satu sukan berprestij yang ditonton seluruh dunia pasti hujan bakal menjadi satu masalah. Mat Salleh mahu tengok hasil saja, bagaimana kamu buat itu urusan kamu. Tapi untuk worldcup tahun ini mungkin sudah agak terlewat, hantar sahaja proposal untuk worldcup yang mendatang.

Bila dah bercampur menteri, itu belum campur kontrak yang kamu bakal sapu dari kerajaan bagi projek pengairan tanah sawah bendang, sawit malah empangan, lupa ke yang empangan di Melaka tengah tak cukup air ketika ini?

Saya fikir Pakar ramalan kaji cuaca juga sangat gembira dengan ada kamu. Almaklumlah, namanya pun ramalan, bila kata hujan jadinya panas tapi bila diramal panas jadinya hujan. Jadi bagi mengekalkan integriti Peramal kaji cuaca maka ada kemungkinan kamu digaji untuk ikut apa yang diramal mereka.

Bagaimana? Ada berani?

notakaki: berani di atas bermaksud berani dilaknat tuhan jika kenal hukum berbomoh-bomohan.

Tiada ulasan: